Feeds:
Posts
Comments

Risalah Ta’lim

Segala puji bagi Allah serta salawat dan salam buat imamul muttaqin, panglima para mujahidin, junjungan kita Muhammad s.a.w, seorang Nabi yang amanah serta buat kaum keluarganya, para sahabatnya dan mereka yang mengikut pimpinan mereka hingga ke hari kiamat. Ini adalah perutusan saya kepada para mujahid di kalangan Ikhwan al-Muslimin. Mereka yang meyakini kemuliaan dakwah mereka serta kesucian gagasan mereka. Mereka yang mempunyai tekad yang suci untuk hidup bersama dan mati di jalannya. Khusus buat mereka ini saya tujukan tulisan yang ringkas ini. Tulisan ini bukanlah pelajaran yang perlu dihafal tetapi ia adalah taklimat yang perlu dilaksanakan. Ayuh ke medan amal, wahai saudara yang jujur. Dan katakanlah (wahai Muhammad): Bekerjalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. (Al-Taubah: 105) Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-An‘am: 153) Buat yang lain selain daripada mereka ini ada pengajian, ceramah, buku dan artikel, gaya dan kaedah yang khusus untuk mereka. Setiap umat ada arah yang dituju. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan. Semuanya dijanjikan Allah kebaikan. Salam serta rahmat dan keberkatan Allah untuk kamu semua. Hasan al-Banna Saudara yang jujur Rukun baiah kamu ada sepuluh, hayati dan hafallah: 1. Faham. 2. Ikhlas. 3. Amal. 4. Jihad. 5. Berkorban (Tadhiyah). 6. Taat. 7. Thabat. 8. Tajarrud . 9. Bersaudara (Ukhuwwah). 10. Thiqah. Wahai Saudara Yang Jujur, 1. Faham Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Faham: Faham yang dimaksudkan ialah anda yakin fikrah atau gagasan anda adalah sepenuhnya berlandaskan Islam. Anda faham Islam sebagaimana yang kami faham, dalam skop dua puluh usul yang ringkas seringkas-ringkasnya ini: 1. Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih. 2. Al-Quran al-Karim dan sunnah yang suci adalah rujukan setiap muslim untuk memahami hukum-hakam Islam. Al-Quran perlu difahami menurut kaedah bahasa Arab tanpa mengada-adakan atau keterlaluan. Sementara sunnah pula perlu difahami melalui ahli hadis yang dipercayai. 3. Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan yang diberikan Allah ke dalam hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak bercanggah dengan hukum-hukum dan nas-nas agama. 4. Tangkal, jampi, kulit kerang yang dijadikan pendinding, menilik dengan cara melukis di pasir, tenung nasib, sihir dan dakwaan mengaku mengetahui perkara ghaib, semua ini adalah amalan sesat yang wajib diperangi, kecuali jampi yang menggunakan ayat al-Quran atau hadis yang ma’thur. 5. Pendapat imam atau wakilnya dalam perkara yang tiada nas ataupun nas tersebut mempunyai pelbagai maksud dan dalam soal masalih mursalah (kepentingan umum) boleh dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan asas syarak. Pendapat ini mungkin berubah mengikut keadaan, budaya dan adat. Asas dalam soal ibadat ialah pengabdian (ta’abbud) tanpa perlu melihat kepada maksud. Sementara dalam soal yang lain ia perlu melihat kepada sebab, hikmah dan maksud. 6. Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia yang maksum iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang diredai Allah jika bertepatan dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak kitab Allah dan sunnah rasulNya lebih utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan mengecam atau mengkritik mana-mana individu yang tidak sependapat. Kita serahkan kepada niat mereka.Mereka telahpun menyampaikan apa yang telah mereka kemukakan.. 7. Setiap orang Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu dapat mengkaji dalil-dalil hukum dalam masalah furu’ hendaklah mengikut salah satu imam dalam agama ini. Namun demikian adalah lebih baik selain mengikut dia berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-dalil tersebut. Dia juga perlu menerima segala tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil setelah dipastikan orang yang menunjuk ajar itu adalah orang yang berkebolehan dan berkelayakan. Jika dia memang adalah ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam bidang ilmu supaya dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji. 8. Perbezaan pendapat fikah dalam soal yang kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya. Namun tidak salah untuk membuat kajian ilmiah dalam masalah-masalah yang dipertikaikan selagimana ia dilakukan dalam suasana penuh kemesraan dan saling bekerjasama untuk mencari kebenaran. Dengan syarat ia tidak menimbulkan perselisihan yang tidak diingini dan budaya taksub. 9. Setiap masalah yang tidak membuahkan amalan tidak perlu dibincangkan secara mendalam kerana tindakan itu dianggap membebankan diri yang dilarang oleh syarak. Ini termasuklah tindakan mencambah hukum-hakam yang masih belum berlaku, mengkaji maksud ayat-ayat al-Quran yang masih belum dicapai oleh sains, berbincang mengenai kemuliaan seorang sahabat berbanding sahabat yang lain dan persengketaan yang berlaku di kalangan mereka. Setiap sahabat ada kelebihan mereka sebagai seorang sahabat nabi dan mereka akan mendapat pahala bergantung kepada niat mereka. Begitu juga dengan takwil yang dibenarkan. 10. Mengenali, mengesakan dan mensucikan Allah Taala adalah akidah Islam yang paling suci. Semua ayat dan hadis sahih yang menyebut tentang sifat Allah dan apa sahaja yang berkenaan dengannya kita yakini sepertimana yang disebutkan itu tanpa kita tafsirkan mengikut kehendak kita atau kita tolak sama sekali. Kita tidak akan libatkan diri kita dalam perselisihan pendapat di kalangan ulama. Kita sepatutnya meniru sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami. (Aali Imran: 7) 11. Setiap amalan bid‘ah yang dimasukkan ke dalam agama Allah dan tidak berasas (diamalkan oleh manusia kerana mengikut selera mereka sama ada mereka menokok tambah atau mengabaikannya) adalah sesat dan perlu diperangi serta dihapuskan dengan cara yang terbaik dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk. 12. Bid‘ah yang dilakukan dengan cara menambah ataupun meninggalkan atau beriltizam dengan mengamalkan sesuatu ibadat merupakan masalah perbezaan pendapat dari sudut fikah. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri. Namun tidak salah untuk mencari kebenaran dengan berpandukan dalil dan bukti. 13. Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh kerana amalan baik yang mereka lakukan adalah suatu amalan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Apa yang dimaksudkan dengan wali ialah mereka yang disebutkan oleh firman Allah: (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (Yunus: 63) Karamah berlaku pada mereka dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Namun perlu diyakini mereka yang diredai oleh Allah ini tidak mampu mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan untuk diri mereka sendiri ketika hayat mereka dan juga setelah kematian mereka, apatah lagi untuk melakukannya kepada orang lain. 14. Menziarahi kubur adalah sunnah dan disyariatkan dengan cara yang dinyatakan oleh sunnah. Walaupun bagaimanapun meminta bantuan ahli kubur walau siapapun mereka atau menyeru nama mereka atau meminta sesuatu hajat daripada mereka dari dekat atau jauh atau bernazar untuk mereka atau membuat binaan atas kubur atau menyelimutkan kubur atau memasang lampu di kubur atau menyentuh dan mengucup kubur itu atau bersumpah dengan nama yang lain daripada nama Allah atau apa sahaja bid‘ah yang berkenaan dengannya adalah dosa besar yang perlu diperangi. Kita tidak akan bertolak ansur dengan semua amalan ini agar tidak timbul perkara yang lebih buruk. 15. Doa yang dikaitkan dengan tawasul kepada Allah menggunakan perantaraan salah satu makhlukNya adalah perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang bersifat cabang. Masalah ini lebih kepada masalah dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah. 16. Adat sumbang yang diamalkan tidak boleh mengubah hakikat lafaz-lafaz syarak. Malah apa yang dimaksudkan oleh istilah syarak ini perlu dikenal pasti dan dilaksanakan menurut erti istilah tersebut. Di samping itu budaya mempermainkan istilah perlu dielak dalam seluruh aspek dunia dan agama. Perkara yang diambil kira bukannya nama sebaliknya apa yang dimaksudkan oleh nama tersebut. 17. Akidah adalah landasan kepada amalan. Amalan hati lebih penting daripada amalan anggota badan. Melakukan yang terbaik dalam kedua-dua amalan ini adalah tuntutan syarak walaupun wujud perbezaan pada sejauhmana ia dituntut. 18. Islam membebaskan akal dan menggalakkan manusia memerhati alam semesta. Islam mengangkat darjat ilmu dan ulama. Islam juga mengalu-alukan segala perkara yang baik dan bermanfaat. “Hikmah adalah hak orang mukmin yang telah hilang. Oleh itu di mana sahaja dia menemuinya dia adalah orang yang paling berhak untuk memilikinya.” 19. Ada pandangan syarak yang tidak bertepatan dengan pandangan akal namun akal dan syarak tidak akan bertembung dalam soal yang pasti. Penemuan sains yang sah tidak akan bertembung dengan kaedah syarak yang tetap. Bagi perkara yang tidak dipastikan oleh akal atau oleh syarak, ia perlu disesuaikan supaya bertepatan dengan apa yang pasti. Bagi perkara yang tidak dapat dipastikan oleh syarak dan oleh akal, pandangan syarak perlu diutamakan sehingga akal dapat membuktikan kebenarannya atau sebaliknya. 20. Kita tidak mengkufurkan seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah dan masih mengamalkan tuntutan dua kalimah syahadah serta menunaikan amalan fardhu -sama ada mengikut suatu pendapat atau kerana melakukan suatu maksiat-kecuali jika dia mengeluarkan ucapan kufur dan mengakuinya, atau menolak sesuatu yang menjadi asas agama atau tidak mempercayai kenyataan al-Quran yang jelas, atau mentafsir al-Quran menurut cara yang tidak bertepatan sama sekali dengan gaya bahasa Arab, atau melakukan sesuatu yang tidak boleh diandaikan kecuali sebagai kufur. Setelah seorang muslim memahami agamanya berpandukan asas ini barulah dia memahami apa yang sering dilaungkannya: “Al-Quran adalah perlembagaan kami dan rasul adalah ikutan kami.” 2. Ikhlas Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Ikhlas: Ikhlas ialah saudara muslim itu meniatkan setiap kata, tindakan dan jihad yang dilakukan hanya untuk Allah, mencari keredaan dan ganjaranNya tanpa mengharapkan harta atau kemasyhuran atau kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran. Ini bermakna dia merupakan pejuang fikrah dan akidah bukan memperjuangkan matlamat dan kepentingan peribadi. Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan. (Al-An‘am: 162-163) Dengan ini saudara muslim akan memahami maksud apa yang sering dilaungkannya: “Allah matlamat kami” dan “Allah Maha besar dan segala puji bagi Allah”. 3. Amal (Kerja) Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Amal: Amal ialah hasil yang diperolehi daripada ilmu dan ikhlas. Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. (Al-Taubah: 105) Peringkat kerja yang perlu dilakukan oleh saudara yang jujur ialah: 1. Memperbaiki diri sendiri sehingga dia memiliki tubuh yang kuat, akhlak yang mantap, berpendidikan, mampu berdikari, akidah yang sejahtera, ibadah yang betul, bermujahadah melawan diri, menjaga masa, segala urusannya tersusun dan berguna kepada orang lain. Semua ini wajib bagi saudara semua. 2. Pembinaan keluarga muslim. Mendidik ahli keluarganya supaya menghormati gagasannya. Memelihara setiap adab Islam dalam setiap sudut hidup berumahtangga. Teliti ketika memilih isteri. Didik isteri tentang hak dan tanggungjawabnya. Didik anak dan pengasuh dengan baik dan besarkan mereka berdasarkan prinsip Islam. Ini juga wajib bagi saudara semua. 3. Membimbing masyarakat dengan cara mengembangkan aspek yang baik dalam masyarakat. Menghapuskan segala amalan yang tidak baik di samping menggalakkan amalan yang baik. Menyuruh masyarakat melakukan perkara yang baik. Bertindak segera melakukan kebajikan. Menagih sokongan masyarakat supaya berpihak kepada gagasan Islam. Sentiasa berusaha menyemai budaya masyarakat menurut budaya Islam. Semua ini wajib dilakukan oleh saudara semua dan oleh jamaah sebagai badan pelaksana. 4. Membebaskan tanahair dengan cara mengusir kuasa asing (bukan Islam) daripada menguasai aspek politik atau ekonomi atau moral. 5. Memulihkan kerajaan supaya benar-benar bercirikan Islam. Dengan itu kerajaan ini akan menjalankan peranannya sebagai khadam kepada rakyat atau orang upahan rakyat dan bekerja demi kepentingan rakyat. Kerajaan Islam ialah kerajaan yang dianggotai oleh orang Islam dan melaksanakan segala fardhu Islam dengan tidak berterus terang melanggar perintah Islam. Kerajaan ini sebagai pelaksana hukum dan ajaran Islam. Namun tidak salah jika kerajaan ini meminta bantuan orang bukan Islam ketika keadaan terdesak tetapi bukan untuk melantik mereka sebagai pemimpin. Kerajaan ini tidak perlu terikat kepada bentuk atau jenis tertentu. Apa yang penting ia mesti bertepatan dengan dasar pemerintahan Islam. Sifat-sifat kerajaan ini ialah peka dengan tanggungjawab, prihatin dengan nasib rakyat, bertindak adil kepada semua, menjaga harta negara dan berjimat ketika menggunakannya. Tanggungjawab kerajaan ini ialah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang, memberikan pendidikan kepada rakyat, membina kekuatan negara, menjaga mutu kesihatan, memelihara kepentingan rakyat, membangunkan sumber negara, menjaga keselamatan sumber negara, memantapkan akhlak rakyat dan mengembangkan dakwah. Hak kerajaan (setelah menunaikan tanggungjawabnya) ini ialah rakyat perlu memberikan kesetiaan dan ketaatan. Kerajaan ini perlu dibantu dengan nyawa dan harta. Jika kerajaan ini cuai, ia perlu dinasihat dan ditunjuk ajar. Jika tidak ia perlu dipecat dan disingkir. Tidak dibenarkan mentaati makhluk untuk menderhakai Allah. 6. Mewujudkan kembali sebuah negara untuk umat Islam dengan cara memerdekakan semua tanahair umat Islam, menghidupkan semula sejarah kegemilangan mereka, merapatkan jurang budaya mereka dan menyatukan suara mereka sehinggalah muncul kembali khilafah Islam yang telah lama lenyap dan lahir semula perpaduan umat Islam yang dicitakan. 7. Menjadi tonggak dunia (ustaziatul ‘alam) dengan cara menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia. Sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. (Al-Anfal: 39) Sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya. (Al-Taubah: 32) Empat peringkat yang terakhir ini wajib dilaksanakan oleh sebuah jamaah dan oleh setiap saudara dengan kedudukan mereka sebagai anggota jamaah. Betapa beratnya tanggungjawab ini dan betapa besarnya peranan ini. Manusia akan melihat semua ini suatu khayalan namun saudara muslim melihatnya sebagai suatu kenyataan. Kita tidak akan berputus asa dan tetap menaruh harapan yang tinggi kepada Allah. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf: 21) 4. Jihad Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Jihad: Jihad adalah satu kefardhuan yang akan terus diwajibkan sehingga hari kiamat. Selain itu jihad juga ialah apa yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah s.a.w.: “Orang yang mati tetapi tidak pernah berperang atau tidak pernah berniat untuk berperang dia mati dalam keadaan jahiliyah.” Tahap pertama jihad ialah mengengkari dengan hati dan tahap yang paling tinggi ialah perang di jalan Allah. Di antara dua tahap tadi ialah jihad dengan lidah, pena, tangan dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam. Dakwah ini tidak akan bererti tanpa jihad. Sehebat mana dan seluas mana dakwah ini sehebat itulah juga jihad yang diperlukan dan sebesar itu jugalah pengorbanan yang diperlukan untuk menyokong dakwah ini. Namun ganjarannya juga besar untuk mereka yang berusaha. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. (Al-Haj: 78) Dengan ini barulah anda faham apakah yang dimaksudkan setiap kali anda melaungkan: “Jihad adalah jalan kami.” 5. Berkorban (Tadhiyyah) Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Berkorban: Berkorban ialah menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat. Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi gagasan ini tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik. Sesiapa yang tidak mahu berkorban bersama kita dia akan menanggung dosa. Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka. (Al-Taubah: 111) Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu… (Al-Taubah: 24) Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah.. (Al-Taubah: 120) Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik. (Al-Fath: 16) Dengan ini anda memahami apakah yang dimaksudkan setiap kali anda melaungkan: “Mati di jalan Allah adalah cita-cita utama kami.” 6. Taat Apa yang saya maksudkan dengan taat: Taat ialah akur kepada perintah dan melaksanakan secara sepontan dalam keadaan sukar atau senang, rela atau terpaksa. Ini adalah kerana fasa dakwah ini ada tiga: Pengenalan (Takrif) Fasa ini dilaksanakan dengan menyebarkan fikrah Islam kepada masyarakat. Dalam fasa ini dakwah disusun melalui pertubuhan. Peranannya ialah bekerja untuk kebajikan masyarakat. Wahana atau wasilah yang digunakan adakalanya dalam bentuk nasihat dan tunjuk ajar, adakalanya dalam bentuk membina prasarana yang berguna untuk masyarakat dan pelbagai lagi wasilah yang praktikal. Semua cawangan Ikhwan yang wujud pada hari ini berada dalam fasa dakwah ini. Semuanya disusun oleh satu undang-undang asas yang dihuraikan oleh risalah-risalah dan akhbar-akhbar Ikhwan. Dakwah dalam fasa ini bersifat umum. Dalam fasa ini, jamaah berhubung dengan sesiapa sahaja yang mahu mengambil bahagian dalam kerja-kerja jamaah serta bersedia berjanji memelihara dasar-dasar jamaah. Dalam fasa ini ketaatan penuh tidak diperlukan. Cukup sekadar ia menghormati sistem dan dasar am jamaah. Pembinaan (Takwin) Memilih individu-individu yang sesuai untuk memikul tanggungjawab jihad dan mereka kemudiannya digabungkan dalam saf. Dalam fasa ini, dakwah disusun menggunakan kaedah sufi sepenuhnya dalam sudut rohani dan menggunakan kaedah ketenteraan sepenuhnya dalam sudut amali. Slogan bagi kedua-dua sudut ini ialah “perintah dan taat” tanpa ada rasa teragak-agak, bersoal jawab, ragu-ragu dan keberatan. Katibah-katibah Ikhwan merupakan pelaksana kepada fasa dakwah ini. Sebelum ini katibah ini disusun menurut Risalah al-Manhaj dan sekarang risalah ini. Dakwah dalam fasa ini adalah bersifat khusus. Dakwah hanya berhubung dengan orang yang sudah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab jihad yang akan berlangsung dalam tempoh yang lama dan menuntut pelbagai tanggungjawab. Tanda pertama kesediaan ini ialah “ketaatan mutlak”. Pelaksanaan (Tanfiz) Dakwah dalam fasa ini adalah jihad tanpa kompromi, kerja yang berterusan ke arah mencapai matlamat, ujian dan cubaan yang akan hanya ditempuh dengan sabar oleh mereka yang jujur. Kejayaan dalam fasa ini hanya akan diperolehi melalui “ketaatan mutlak”. Barisan Ikhwan al-Muslimin yang pertama memberikan baiah ialah pada 5 Rabiul Awal 1359. Apabila anda bergabung dalam katibah ini dan menerima risalah ini serta berikrar dengan baiah ini anda telah berada di tahap kedua dan hampir dengan tahap ketiga. Oleh itu nilailah tanggungjawab yang anda laksanakan. Siapkanlah diri anda untuk memenuhi tanggungjawab ini. 7. Tabah (Thabat) Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Tabah; Tabah bermakna seorang akh terus menerus bekerja dan berjihad untuk mencapai matlamat walau sejauhmana tempoh yang ditempuh dan memakan masa bertahun-tahun lamanya, sehingga dia bertemu dengan Allah. Dia akan memperolehi dua kejayaan, sama ada dia mencapai matlamatnya atau dia mencapai syahid di akhir nanti. Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Al-Ahzab: 23) Bagi kita, masa adalah salah satu penyelesai masalah. Jalan ini memang jauh apatah lagi apabila ia terpaksa melalui pelbagai peringkat dan pelbagai rintangan. Namun demikian ini sahaja jalan yang mampu membawa kita kepada destinasi kita. Ditambah pula dengan ganjaran dan pahalanya yang besar. Ini kerana kesemua enam wasilah atau wahana kita memerlukan kita membuat persediaan yang rapi, menunggu masa yang sesuai dan merancang pelaksanaan yang teliti. Semua ini bergantung kepada masa. Mereka bertanya secara mengejek: Bila berlakunya? Katakanlah: Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi! (Al-Isra’: 51) 8. Jatidiri (Tajarrud) Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Jatidiri Jatidiri ialah anda memberikan tumpuan sepenuhnya kepada fikrah atau gagasan anda dan anda ketepikan semua prinsip dan tokoh lain selain daripada gagasan anda kerana gagasan anda adalah yang paling mulia, paling lengkap dan paling tinggi. (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Al-Baqarah: 138) Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata. (Al-Mumtahanah: 4) Bagi saudara yang jujur, manusia terbahagi kepada enam kumpulan: 1. Muslim yang berjihad. 2. Muslim yang berdiam diri. 3. Muslim yang melakukan dosa. 4. Ahli zimmi yang membuat perjanjian. 5. Manusia yang berkecuali. 6. Manusia yang memusuhi. Bagi setiap kumpulan ini ada hukum yang tersendiri menurut neraca Islam. Pengkelasan ini akan menjadi landasan dalam menilai individu ataupun pertubuhan, sahabat ataupun lawan. 9. Persaudaraan (Ukhuwwah) Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Persaudaraan; Persaudaraan itu ialah hati-hati dan roh-roh dihubungkan dengan ikatan akidah. Akidah adalah hubungan yang paling ampuh dan berharga. Persaudaraan adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi ialah mengutamakan orang lain. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Hasyr: 9) Saudara yang jujur akan merasakan saudara-saudaranya lebih utama dari dirinya sendiri kerana segala hidupnya bersama mereka. Sedangkan mereka, jika tidak bersamanya akan bersama dengan orang lain. Serigala akan hanya menerkam kambing yang bersendirian. Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain umpama bangunan yang saling kuat memperkuat antara satu sama lain. Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain. (Al-Taubah: 71) Inilah yang sepatutnya kita lakukan. 10. Percaya (Thiqah) Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Thiqah; Seorang tentera menaruh kepercayaan penuh kepada kewibawaan dan keikhlasan pemimpin hingga ke tahap lahir rasa kasih, menyanjung tinggi, hormat dan taat. Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Al-Nisa’: 65) Pimpinan adalah sebahagian daripada dakwah. Dakwah pula tidak akan wujud tanpa pimpinan. Sejauhmana wujud hubungan saling percaya-mempercayai antara pimpinan dan tentera ini akan menentukan kekuatan sistem sesebuah jamaah, kekemasan strateginya, kejayaannya untuk mencapai matlamat dan sejauhmana ia mampu mengatasi segala rintangan dan cabaran. Maka kebinasaanlah lebih hampir kepada mereka. (Mereka selalu berkata: Pendirian kami) mematuhi perintah dan memperkatakan perkataan yang baik (yang diredhai Allah) (Muhammad: 20-21) Dalam dakwah Ikhwan, seorang pemimpin ibarat seorang ayah dari segi hubungan hati, seorang guru dari segi penyaluran ilmu, seorang syeikh dari segi didikan rohani, seorang ketua dari segi menentukan dasar am dakwah. Dakwah kita menggabungkan semua elemen ini. Kepercayaan kepada pemimpin merupakan asas kepada kejayaan mana-mana gerakan. Oleh itu, setiap akh yang jujur perlu menyoal dirinya soalan-soalan berikut bagi mengetahui sejauhmana kepercayaannya kepada pimpinannya: 1. Adakah dia mengenali siapakah pemimpinnya sebelum ini dan telah mengkaji latar belakangnya? 2. Adakah dia yakin dengan kemampuan dan keikhlasannya? 3. Adakah dia bersedia untuk menerima bahawa segala arahan yang tidak bertentangan dengan syarak yang dikeluarkan oleh pimpinan sebagai suatu keputusan mutlak yang tidak boleh dipertikai, disangsi, diabai dan diperdebatkan, di samping bersedia memberi nasihat dan menyatakan pendapat yang baik? 4. Adakah dia bersedia untuk merasakan kemungkinan bahawa pendapatnya salah dan pendapat pimpinan itu benar, dalam keadaan wujud percanggahan antara arahan pimpinan dan apa yang diketahuinya tentang soal ijtihad yang tidak dinyatakan sebarang nas syarak? 5. Adakah dia bersedia untuk meletakkan kehidupan hariannya di bawah telunjuk dakwah? Adakah pemimpin pada pandangannya berhak menentukan apa yang lebih penting antara kepentingan peribadinya dengan kepentingan dakwah? Berdasarkan jawapan kepada soalan-soalan ini atau yang seumpama dengannya, seseorang akh akan meyakini sejauhmana hubungannya dengan pimpinan dan sejauhmana dia mempercayai kewibawaannya. Namun hati-hati manusia di tangan Allah dan Dia mentadbir hati-hati ini menurut kehendaknya. Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfal: 63) Wahai Saudara yang jujur, Keyakinan anda dengan baiah ini telah mewajibkan anda supaya menunaikan segala tanggungjawab berikut agar anda menjadi seketul bata yang kukuh dalam pembinaan ini: 1. Anda hendaklah mempunyai wirid harian, tidak kurang daripada satu juzuk al-Quran. Berusahalah supaya menghabiskannya tidak melebihi sebulan dan tidak kurang daripada tiga hari. 2. Anda hendaklah memperelokkan bacaan al-Quran anda atau mendengar dan mentadabbur maknanya. Anda hendaklah mempelajari sirah dan sejarah generasi silam mengikut kelapangan masa yang ada pada anda. Sekurang-kurangnya buku yang dibaca ialah, “Humatul Islam”. Anda hendaklah banyak membaca hadis Rasulullah s.a.w. dan hafallah sekurang-kurangnya empat puluh hadis, terutama hadis empat puluh Imam Nawawi. Anda hendaklah mempelajari buku-buku tentang asas akidah dan cabang fikah. 3. Anda hendaklah melakukan pemeriksaan perubatan yang menyeluruh dan berusaha merawat segala penyakit yang ada pada diri anda. Anda hendaklah mengambil berat aspek kekuatan dan penjagaan badan serta jauhkanlah daripada segala punca yang melemahkan tubuh badan. 4. Anda hendaklah menjauhkan tabiat mengambil minuman kopi, teh atau minuman perangsang secara berlebihan. Janganlah anda minum minuman seperti ini kecuali jika perlu dan jauhi sama sekali tabiat merokok. 5. Anda hendaklah mengambil berat soal kebersihan dalam semua keadaan, kediaman, pakaian, makanan, tubuh badan dan tempat kerja. Kebersihan adalah teras agama ini. 6. Anda hendaklah sentiasa bercakap benar dan tidak akan sekali-kali menipu. 7. Anda hendaklah bersikap amanah pada janji dan setiap percakapan. Janganlah anda mungkiri janji walau apa keadaan sekalipun. 8. Anda hendaklah bersikap berani dan bersemangat waja. Sikap berani yang paling baik ialah lantang menyatakan kebenaran, bersedia menyembunyikan rahsia, mengakui kesilapan, jujur dengan diri sendiri dan mengawal diri ketika marah. 9. Anda hendaklah bersikap serius dan sentiasa bersungguh-sungguh. Walau bagaimanapun sikap serius ini tidak bermakna anda mengenepikan senda gurau yang benar dan gelak ketawa. 10. Anda hendaklah bersikap pemalu dan sensitif, amat peka dengan perkara yang baik dan yang tidak baik. Gembira melihat yang baik dan sedih melihat yang tidak baik. Anda juga hendaklah bersikap merendah diri tetapi bukan menghina diri atau mengampu. Jika apa yang anda minta itu lebih rendah daripada kedudukan anda nescaya apa yang anda minta itu pasti akan tercapai. 11. Anda hendaklah bersikap adil dan mampu memberikan keputusan yang betul dalam semua keadaan. Janganlah kerana kemarahan anda melupakan kebaikan dan jangan juga anda melelapkan mata melihat keburukan. Janganlah kerana persengketaan, anda melupakan nilai-nilai murni. Nyatakanlah kebenaran walaupun kepada diri anda sendiri atau kepada orang yang paling hampir dengan anda, walaupun ia pahit. 12. Anda hendaklah bergiat cergas dan terlatih untuk berkhidmat kepada masyarakat. Anda perlu merasa seronok dan gembira jika anda mampu memberikan sesuatu khidmat kepada orang lain. Anda hendaklah melawat orang sakit, membantu mereka yang memerlukan bantuan, orang yang lemah dan orang yang ditimpa malapetaka walaupun sekadar mengucapkan kata-kata yang baik. Sentiasalah berusaha untuk melakukan kebaikan. 13. Anda hendaklah mempunyai hati yang penyayang, pemurah dan pemaaf, sedia memaafkan, melayan dengan baik dan bersabar dengan manusia dan haiwan. Anda hendaklah memberikan layan yang baik kepada semua manusia. Anda hendaklah memelihara adab-adab pergaulan dalam Islam. Dengan ini bermakna anda perlu mengasihi anak-anak kecil, menghormati orang tua, memberikan orang lain ruang untuk duduk dalam majlis. Janganlah anda mengintip, mengumpat dan mengangkat suara. Minta izinlah ketika ingin masuk dan keluar. Begitulah seterusnya. 14. Anda hendaklah berkemampuan untuk membaca dan menulis dengan baik. Perbanyakkanlah membaca tulisan-tulisan, akhbar, majalah atau sebagainya yang ditulis oleh Ikhwan. Anda sendiri hendaklah mempunyai sebuah perpustakaan walaupun kecil. Anda hendaklah meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran anda jika anda merupakan orang yang berkepakaran. Anda hendaklah menguasai keseluruhan permasalahan Islam secara mendalam sehingga anda mampu memahami dan memberikan jawapan yang tepat sesuai dengan kehendak fikrah anda. 15. Anda hendaklah menjalankan kerja-kerja ekonomi walaupun anda seorang yang kaya. Anda hendaklah berusaha untuk bekerja sendiri walaupun secara kecil-kecilan. Anda hendaklah tumpukan usaha anda dalam kerja tersebut walau setinggi mana sekalipun pencapaian akademik anda. 16. Elaklah jawatan dalam kerajaan dan anda hendaklah menjadikan jawatan dalam kerajaan ini sebagai pintu rezeki yang terakhir. Walau bagaimanapun janganlah anda menolak jika anda diberi peluang dan janganlah anda melepaskan jawatan tersebut kecuali jika jawatan tersebut bertentangan sama sekali dengan kewajipan dakwah anda. 17. Anda hendaklah bersungguh-sungguh menjalankan tugas anda dengan menjaga aspek kualiti, tekun, tidak korup dan hendaklah menepati janji. 18. Anda hendaklah menunaikan segala hak-hak anda dengan baik dan menunaikan segala hak orang lain tanpa perlu diminta dan tidak melewat-lewatkannya sama sekali. 19. Anda hendaklah menjauhi segala bentuk judi walau apa sekalipun tujuan di sebaliknya. Anda hendaklah menjauhi segala sumber rezeki yang haram walaupun ia memberikan keuntungan yang segera. 20. Anda hendaklah menjauhi semua urusan yang membabitkan riba dan bersihkanlah diri anda daripada segala unsur riba. 21. Anda hendaklah menggunakan kekayaan umat Islam dengan cara menggalakkan sektor perusahaan dan prasarana ekonomi Islam. Anda hendaklah memastikan tiada satu senpun wang anda yang jatuh ke tangan bukan Islam dalam apa keadaan sekalipun. Anda hendaklah hanya memakai dan memakan hasil buatan negara Islam. 22. Anda hendaklah memberikan sebahagian harta anda sebagai sumbangan kepada dakwah dan tunaikanlah zakat yang diwajibkan. Jadikanlah sejumlah harta anda sebagai sumbangan kepada orang yang memerlukan walau sekecil mana sekalipun pendapatan anda. 23. Anda hendaklah menyimpan sebahagian pendapatan anda walaupun sedikit untuk masa kecemasan. Janganlah anda terjerumus dalam kemewahan sama sekali. 24. Anda hendaklah berusaha sedaya upaya anda untuk menghidupkan budaya Islam dan menghapuskan budaya asing dalam setiap sudut hidup masyarakat. Budaya tersebut termasuklah cara mengucap salam, bahasa, sejarah, pakaian, perhiasan, waktu bekerja dan berehat, makan dan minum, waktu datang dan balik, waktu sedih dan gembira atau sebagainya. Berusahalah untuk mengamalkan sunnah dalam semua aspek tersebut. 25. Anda hendaklah memulaukan mahkamah tempatan dan semua undang-undang yang tidak Islamik. Anda juga perlu memulaukan semua kelab, akhbar, pertubuhan, sekolah dan badan yang bertentangan dengan fikrah Islam anda. 26. Anda hendaklah sentiasa merasai kehadiran Allah Taala, mengingati akhirat dan bersedia menghadapinya. Anda hendaklah melalui fasa bersuluk menuju keredaan Allah dengan penuh hemah dan azam yang tinggi. Anda hendaklah mendekatkan diri anda dengan Allah Taala dengan cara mendirikan ibadah sunat, antaranya sembahyang malam, puasa tiga hari setiap bulan sekurang-kurangnya, membanyakkan zikir dalam hati dan lidah, membaca doa yang disebutkan pada setiap masa. 27. Bersucilah dengan cara yang baik dan dalam banyak ketika cubalah berada dalam keadaan berwuduk. 28. Lakukanlah sembahyang dengan baik dan cubalah dirikan sembahyang pada waktunya. Berusahalah sedaya upaya untuk mendirikan sembahyang secara berjemaah di masjid. 29. Berpuasalah di bulan Ramadan dan kerjakanlah haji jika anda berkemampuan. Berusahalah jika boleh untuk merealisasikannya. 30. Anda hendaklah sentiasa semaikan niat untuk berjihad, cintakan mati syahid dan bersedia sedaya upaya anda untuk merealisasikannya. 31. Anda hendaklah sentiasa memperbaharui (***403) taubat dan memohon keampunan serta berwaspada supaya tidak melakukan dosa-dosa kecil apatah lagi dosa-dosa besar. Anda perlu peruntukkan sejumlah masa sebelum tidur untuk anda menilai apakah amalan baik dan tidak baik yang telah anda lakukan. Berusahalah menjaga masa kerana masa adalah hayat anda. Janganlah gunakan masa anda untuk sesuatu yang tidak berfaedah. Anda hendaklah bersifat warak terhadap perkara yang meragukan supaya anda tidak terjerumus melakukan perkara yang haram. 32. Anda hendaklah melawan diri anda dengan tegas supaya anda mampu memimpinnya. Anda perlu menutup pandangan mata anda, kawal emosi anda dan naluri semulajadi anda. Anda perlu sentiasa membawa diri anda hanya kepada yang dihalalkan. Anda perlu menjauhkan dirinya daripada perkara haram walau apa keadaan sekalipun. 33. Anda hendaklah menjauhi sama sekali semua minuman arak, minuman yang memabukkan dan yang mengkhayalkan walau apa jenisnya sekalipun. 34. Anda hendaklah menjauhi sahabat-handai yang tidak baik serta tempat-tempat yang penuh noda dan dosa. 35. Anda hendaklah menghapuskan tempat-tempat hiburan apatah lagi untuk mendekatinya. Jauhkanlah diri anda daripada segala gaya hidup yang mewah. 36. Anda hendaklah mengenali anggota katibah anda seorang demi seorang secara mendalam. Anda juga hendaklah memperkenalkan diri anda kepada mereka secara mendalam. Anda hendaklah menunaikan hak-hak persaudaraan mereka seperti kasih sayang, hormat, saling bantu-membantu dan sentiasa berikan mereka keutamaan. Anda hendaklah menghadiri perjumpaan bersama mereka dan janganlah anda menguzurkan diri kecuali kerana terpaksa. Anda perlu sentiasa berikan mereka keutamaan dalam setiap urusan anda. 37. Anda hendaklah menghentikan segala hubungan anda dengan mana-mana badan atau pertubuhan yang tidak membawa kepentingan kepada gagasan atau fikrah anda terutama apabila anda diminta untuk berbuat demikian. 38. Anda hendaklah berusaha untuk mengembangkan dakwah anda di mana jua dan memaklumkan kepada pimpinan anda setiap perkembangan anda. Jangan anda lakukan sesuatu yang boleh memberikan kesan yang besar kepada dakwah melainkan setelah anda terlebih dahulu meminta izin. Anda perlu sentiasa menjalin hubungan rohani dan amali dengan pimpinan. Anda hendaklah sentiasa merasakan anda adalah seorang tentera yang sedang berada dalam kem yang sentiasa menunggu arahan. Wahai Saudara Yang Jujur, Inilah dakwah anda secara ringkas. Inilah penjelasan ringkas tentang gagasan anda. Anda boleh simpulkan keseluruhan asas inidi dalam lima ayat: Allah adalah matlamat kami. Rasul adalah ikutan kami. Al-Quran adalah panduan kami. Jihad adalah jalan kami. Mati syahid adalah cita-cita kami. Anda juga mungkin boleh gabungkan gagasan ini dalam lima perkataan berikut: Sederhana, membaca, sembahyang, ketenteraan dan akhlak. Didiklah semua nilai-nilai ini ke dalam diri anda dengan bersungguh-sungguh. Jika tidak ruang untuk berpeluk tubuh bagi orang yang malas dan tidak berpendirian sentiasa terbuka luas. Saya yakin jika anda amalkan semua nilai ini dan anda jadikan nilai ini sebagai impian serta matlamat hidup, anda pasti akan beroleh kegemilangan di dunia dan kesenangan serta keredaan di akhirat. Di kala itu, anda menjadi sebahagian daripada kami dan kami menjadi sebahagian daripada anda. Namun jika anda menolak dan berpeluk tubuh tiada lagi hubungan di antara anda dan kami walaupun anda begitu menonjol dalam majlis kami atau anda menjawat jawatan yang tinggi di kalangan kami atau anda terkenal dengan penampilan yang hebat. Anda akan dihisab oleh Allah sekeras-kerasnya kerana sikap anda yang berpeluk tubuh. Buatlah pilihan dan kami memohon semoga kita semua beroleh hidayah dan taufik Allah. “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?” 1.“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya.” 2.“Serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”Al-Saf: 10-11. 3.“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu.” 4.“Dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar.” 5. “Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah.” 6.“Dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (Al-Saf: 12-13) Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibnu Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang. (Al-Saf: 14) Semoga anda beroleh salam, rahmat dan keberkatan Allah.

Fikrah Islam

FIKRAH ISLAM

Fikrah Islam atau fikrah kita ialah ajaran Allah, yang lengkap, yang sempurna, syumul dan merangkumi seluruh kehidupan mukmin.
Inilah Islam, Addeen yang ditanzilkan atau diturunkan oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan dilaksanakan di zaman awal. Allah Taa’la telah menjelaskan dan menegaskan tentang kesempurnaan Islam di dalam FirmanNya :
اليوم أكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتى ورضيت لكم الإسلام دينا

Oleh kerana Dienul Islam telah sempurna maka kita tidak boleh menambah atau mengurangkannya, begitu juga kita tidak boleh mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.
Hendaklah kita sedar bahawa kita adalah pengikut dan penganut Dienul Islam dan mengakui sebagai hamba Allah, dan kita bukannya pencipta Dien. Oleh yang demikian kitalah yang perlu menyesuaikan diri dengan Islam dan bukannya Islam itu harus bersesuaian dengan selera kita, kehendak kita dan kemahuan masyarakat seperti firman Allah:
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini ,nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.Mereka tidak lain hanya mengikuti prasangka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta terhadap Allah.” (Al-an’am-116)
Nilai kita ialah nilai Islam, iaitu nilai yang telah ditetapkan Allah dan dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W oleh yang demikian kita sedikitpun tidak boleh tidak redha pada syariat Islam.
Tasawwur Islami hendaklah difahami dengan betul. Kita hendaklah bersifat jiddiah (serius) di dalam memahami Islam dan tidak mencampur adukan dengan isme-isme lain.
Untuk itu kita hendaklah mengenal Islam dan mengenali jahiliyyah, mengenal Islam untuk dihayati dan mengenali jahiliyyah untuk dijauhi. Kita hendaklah mengenal setiap rupa, bentuk dan tektik jahiliyyah untuk dijauhi. Dengan itu barulah kita dapat membezakan yang mana Islam dan yang mana bukan Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:
من تعلم لغة قوم أمن مكرهم
“Barangsiapa mengenal / mempelajari bahasa sesebuah kaum maka mereka terselamat dari tipu daya mereka”.
Kita juga mesti mengenal realiti agar kita tidak salah faham, seperti mengatakan loteri kebajikan itu halal. Di dalam memahami Islam dan realitinya kita sememangnya kurang ilmu, oleh itu kita perlu berjama’ah. Kita sememangnya tidak mempunyai ilmu yang serupa. Tetapi dengan harakah kita mampu mengatasinya.
Satu lagi sikap yang mesti ada ialah kita jangan mudah menerima sesuatu yang bukan Islam, jangan mudah terpengaruh dengan istilah dan teknik atau slogan yang menarik seperti. Demi pembangunan, demi kemajuan dan Malam ‘Amal. Dalam hal ini kita hendaklah mengenengahkan fikrah Islam dengan jelas dan pendirian Islam yang tegas kepada masyarakat.
Kita juga mesti mempunyai al-wa yu al-Islamiyy (kesedaran Islam). Ianya bukan sama dengan ilmu Islam. Dalam usaha memperolehi ‘kesedaran Islam’ perlu kepada kesabaran, tekun dan gigih dalam usaha. Seorang yang mempunyai ‘kesedaran Islam’ akan mudah terasa dan sensitif terhadap apa jua yang bercanggah dengan Islam.
Untuk itu kita perlu kepada didikan atau ‘tarbiyyah’. ’Tarbiyyah’ yang boleh melahirkan syakhsiyyah atau keperibadian muslim sejati.
Seorang mujahid Islam, Al-Ustaz Fathi Yakan menyatakan pembentukan sahsiyyah itu hanyalah dapat dibentuk di dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan jahiliyyah. Umpamanya dengan mengadakan halaqah, usrah, ijtima’ dan sebagainya.
Seorang muslim hendaklah tidak menghilangkan satu fikrah Islam pun dari pemikirannya. Siapa yang cuba menyembunyikan fikrah Islam adalah dikira menyeleweng. Ingatlah bahawa fikrah yang kita bawa adalah deen ditanzilkan oleh Allah S.W.T. Addeen yang dimaksudkan di sini bukanlah Addeen yang diterjemahkan kepada agama, sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang.
Keaslian Islam hanyalah boleh dilihat dari sumber asalnya iaitu Al-Quran dan Al-Hadith dan juga dari ulama’ dan mujahid Islam yang mu’tabar. Seterusnya Allah berfirman :
Allah telah memberi kata putus dan memberi pilihan samada beriman atau tidak, sebagaimana firmannya :
وَقُلْ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا
Ertinya : “Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; (Al-Kahfi : 29)
Kita hendaklah memikir terus dan jauh sehingga hari qiamat. Oleh kerana kita tidak tahu di manakah tempat kita samada syurga atau neraka. Ketidaktahuan ini jua hendaklah kita punya sifat takut dan harap.Takut ialah bagi yang mengenalinya dan harap bagi yang melaksanakannya.
Iltizam kita pada Islam hendaklah pada setiap masa dan tidak pada majlis rasmi sahaja. Untuk ini juga kita perlu ‘kesedaran Islam yang jelas’ dan bukannya ilmu semata-mata. Ilmu sahaja tanpa kesedaran tidak dapat membawa kepada Islam … individu.Dalam konteks masyarakat ialah yang menghayati Islam sepenuhnya.
Ilmu-ilmu Islam hendaklah diproses dan diolah melalui acuan iman/tarbiyyah iman sehingga lahir kesedaran dan ingin melaksanakan Islam, dengan patuh. Kesedaran fikiran sahaja tidak mencukupi tetapi tetapi haruslah iltizam dengan Islam. Ertinya di mana sahaja kita berada, kita membawa Islam. Ini juga bererti peribadi kita menterjemahkan Islam …. Islam menjadi darah daging.
Namun begitu kita tidak dapat nafikan dalam proses tersebut masih terdapat lagi saki baki jahiliyyah. Pernah Abu Zar memanggil Bilal dengan panggilan ‘Ibnu Assauda’. Bilal memberitahu Rasulullah S.A.W dan Nabi kemudiannya berkata kepada Abu Dzar bahawa ia masih ada saki baki jahiliyyah. Disuruh balas dengan memijak pipinya.
Hendaklah Islam itu menjadi pendorong kita dalam melakukan gerak kerja samada membuat yang baik dan meninggalkan yang dilarang, jangan sekali didorong oleh kepentingan politik, kumpulan, parti, pangkat, bintang dan sebagainya.
“Proses tarbiyyah imaniyyah adalah begitu dan amat penting bagi membentuk insan mu’min”

Hilangnya keseriusan

Sudah lama rasanya saya tidak update blog ini kerana saya lebih tumpukan blog Kehidupan & Keimanan yang cuba saya kemukakan fikrah atau pemikiran dalam bentuk yang agak santai (walaupun saya lebih suka bentuk yang serius). Mungkin kerana reaksi pengunjung website yang lebih cenderung kepada bahan-bahan berbentuk santai.

Sebagai seorang guru dan bertanggungjawab secara khusus dalam bidang tarbiyyah di sebuah sekolah agama swasta, saya melihat hilangnya keseriusan ini menjadi penghalang utama kepada proses pendidikan atau tarbiyyah. Sejak 3 atau 4 tahun ini banyak perubahan terutamanya dari segi pendekatan terpaksa saya lakukan. ‘Dos’nya terpaksa dikurangkan, aktiviti-aktiviti ceramah tidak lagi memberi kesan yang baik. Perubahan-perubahan ini menuntut masa yang begitu banyak dari saya.

Apa sebenarnya yang telah mengikis keseriusan remaja-remaja muslim sekarang? Ini adalah persoalan yang sering timbul dalam benak pemikiran saya. MUNGKIN kemewahan yang dicurahkan oleh pihak ibubapa tanpa kawalan menyebabkan mereka kehilangan jatidiri dan keseriusan. Remaja sekarang tidak sanggup berdepan dengan permasalahan dan tanggungjawab yang berat. Mereka inginkan segalanya mudah. Saya teringatkan zaman persekolahan saya dulu…untuk berbelanja RM 0.50 pun banyak yang perlu saya fikirkan, banyak perkara yang dipertimbangkan. Mungkin kerana pada masa itu RM 0.50 ini terlalu berharga…walaubagaimanapun semua ini menjadikan saya seorang yang serius dan tidak melihat sesuatu permasalahan itu dengan pandangan remeh. Tetapi sekarang ini seorang pelajar boleh membuat keputusan untuk membelanjakan RM 50 hanya dalam beberapa saat saja. Pernah saya bawa jacket untuk dijual di koperasi sekolah pada hari kecemerlangan..datang seorang pelajar yang bertanyakan harganya. Saya katakan RM50, diapun terus pegang sambil katanya … saya beli baju ini.

Pernah saya sindir-sindirkan pihak ibubapa……”ibuayah manjakan anak-nakanya, berikan apa saja yang mereka mahukan dan besarkan mereka dengan kemewahan dan hantar kesini (kesekolah tempat saya) supaya anak-anak mereka dididik sebagai da’ie atau pendakwah sedangkan nak jadi da’ie itu menuntut pengorbanan yang banyak.”

Yang dimaksudkan dengan peribadi ialah manusia itu sendiri dengan fizikalnya, mentalnya, spiritualnya dan juga akhlaqnya yang berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain.  Dalam tajuk ini tidak akan dihuraikan tentang huraian peribadi secara perbincangan-perbincangan ahli-ahli falsafah dalam ilmu jiwa, tetapi akan diperkatakan pembentukan peribadi Muslim seperti tajuk ini hasil sedutan daripada kitab-kitab para Mujahid Islam yang banyak berjihad dan berkorban untuk Islam. 

Peribadi Muslim tidak pernah terkenal dan tidak pernah bersinar di kalangan masyarakat manusia kecuali ianya dibina di atas Tauhid keImanan kepada Allah s.w.t.  Peribadi yang tinggi dan mulia ini telah pernah lahir pada suatu kumpulan yang terkenal dengan panggilan Generasi Al Quran Yang Unik (Jillun Qur’anun Farid).

Iaitu generasi sahabat awwalun (pertama) yang dididik, diasuh dan dipimpin sendiri oleh baginda Rasulullah s.a.w semasa hayat baginda.  Generasi yang menjalani latihan Tauhid dan Keimanan kepada Allah s.w.t dan kepada prinsip-prinsip keImanan yang lain selama lebih kurang 13 tahun secara praktiknya.  Generasi yang menjalani proses keImanan yang mentauhidkan  Allah s.w.t dalam ertikata yang sebenar-benarnya, memenuhi sifat-sifat Uluhiyyah dan Rububiyyah dan segala sesuatu yang berkaitan dengannya.  Generasi yang ada suatu ketika dahulu, ketika menjalani latihan Tauhid telah diazab  dengan berbagai azab dan siksaan serta gangguan malah secara bersatgu semua tenaga Jahiliyyah bagi menghalang dan menghapuskan Nur Iman sebagai asas pembentukan peribadi yang kian hari semakin bersinar dan meningkat dalam usaha pembentukannya. Itu tidak dapat menyekat kemaraannya.  Firman Allah s.w.t :  

Terjemahannya : Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan  cahaya Nya walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai  ( Surah at Taubah : 32 ) 

Dari latihan, didikan serta pimpinan junjungan kita Muhammad s.a.w yang berpandukan wahyu Allah s.w.t, al Quran al Karim sebagai sumber pembentukan, maka terbentuklah keperibadian Muslim pada kumpulan pertama para pemuda Quraisy. Kumpulan  yang telah dilatih dan dididik sebagai jiwa tauhid tersebut telah tidak lagi  terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamakkan dunia.  Malah cita-cita  memenangi keredhaan Allah s.w.t semata-mata.  Kumpulan ketika mana mendengar panggilan Iman kepada Allah s.w.t dan kepada Rasul Nya, mereka merasakan kehidupan Jahiliyyah sudah tiada nilai lagi dan tidak lagi memberi kesan terhadap mereka.  Jiwa mereka memberontak ketika berada di dalam cengkaman Jahiliyyah.  Jiwa mereka tidak sabar-sabar lagi untuk pergi menyahut panggilan Iman kepada Allah s.w.t dan Rasul Nya. Setelah keyakinan tauhid benar-benar menguasai jiwa mereka, mereka terus menghulurkan tangan untuk mengikat janji setia dan penyerahan sepenuhnya dengan lafaz:-  Aku bersaksi bahawa Tiada Illah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah   

Mereka menyerah jiwa raga mereka di bawah perintah Rasulullah s.a.w pada hal mereka  mengetahui benar bahawa jiwa mereka diancam, hidup mereka tergugat dan mereka akan menghadapi berbagai kesulitan dan kesusahan untuk sampai kepada matlamat tersebut.  Tetapi kumpulan yang dididik dan diasuh oleh Rasulullah s.a.w dengan al Quran al Karim ini memahami dan menyakini akan realiti tersebut.  Firman Allah s.w.t : 

Terjemahannya :  Alif laam miim.  Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi ?.  Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya  Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta . ( Surah al’Ankabut : 1-3 ) 

Dan dalam firmanNya yang lain; 

Terjemahannya :  Apakah kamu mengira bahawa kamu akan  masuk syurga, padahal  belum datang kepadamu (cubaan ) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu ?.  Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan ( dengan bermacam-macam cubaan ) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman :  Bilakah datangnya pertolongan Allah ?.  Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.  (Surah al Baqarah : 214 ) 

Segala kesulitan, kesusahan dan pahit getir perjuangan dan jihad di Jalan Allah s.w.t yang mereka tempuhi itu tidak sesekali melemahkan Iman mereka.  Malah Iman mereka kian bertambah yakin dan bertambah tabah menghadapi apa yang mereka sifatkan sebagai ujian dari Allah s.w.t.  Ini dapat dilihat di dalam al Quran al Karim di dalam firman Allah s.w.t: 

Terjemahannya:-    Dan tatkala orang-orang mu’min melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata :  Inilah yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul Nya kepada kita.  Dan benarlah Allah dan Rasul Nya .  Dan yang demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.  ( Surah al Ahzab : 22 ) 

Begitulah Rasulullah s.a.w mengasuh jiwa mereka dengan al Quran al Karim, mendidik hati nurani mereka dengan Iman, mengajak mereka patuhj kepada Allah dalam melaksanakan segala kewajipan yang diwajibkan oleh Allah s.w.t.  Dengan didikan demikian maka kian bertambah tinggilah jiwa dan hati mereka, kita bertambah luhurlah akhlaq mereka dan kian bertambah bebaslah mereka dari kekuasaan kebendaan dan rintihan hawa nafsu yang menyesatkan dan terpancarlah rasa cintakan Allah s.w.t, Pencipta langit dan bumi serta segala sesuatu yang berada di dalamnya. Rasulullah s.a.w juga mengajar mereka bersabar menghadapi kesusahan, mengajar  mereka mengawal jiwa mereka yang pernah benar terlatih dengan peperangan semasa Jahiliyyah seolah-olah mereka dilahirkan bersama-sama peralatan senjata.  Mereka dhidup di zaman yang tidak pernah sunyi daripada peperangan dan pertumpahan darah, seperti peperangan Basus, Dahit dan peperangan Ghabra.  Begitu juga dengan peperangan al Fijar belum lagi sejuk dan masih terasa bahangnya.  Tetapi Rasulullah s.a.w melalui asuhan dan didikan al Quran al Karim mengikut proses yang ditentukan oleh Allah s.w.t membendung jiwa peperangan dan semangat kebangsaan dengan arahan baginda yang bermaksud : “Hentikanlah kekerasan dan dirikan solah   

Maka secara patuh mereka menghentikan peperangan dan kekerasan serta bersabar dalam menghadapi siksaan Kuffar Quraisy.  Ini bukanlah kerana lemah dan takut.  Sejarah tidak pernah mencatatkan bahawa seseorang Muslim di tahap Makkah pernah mempertahankan diri dari kezaliman Quraisy dengan senjata meskipun ia berkemampuan untuk berbuat demikian. 

Inilah suatu sifat kepatuhan dan ketaatan kepada kepimpinan hasil daripada pembentukan Rasulullah s.a.w mengikut proses yang ditentukan oleh Allah s.w.t yang tidak ada tolok bandingnya di dalam sejarah kemanusiaan. 

Dengan roh tauhid dan keImanan, dengan  pengajaran Nabi yang sempurna, dengan pendidikan yang teliti dan bijaksana, dengan peribadi Rasulullah s.a.w yang luarbiasa dan dengan Kitab suci al Quran al Karim yang dipenuhi dengan mukjizat, maka Rasulullah s.a.w dapat membangunkan kehidupan yang baru kepada Generasi Pertama dahulu dan mengangkat kembali nilai kemanusiaan yang hampir musnah.  Kemudian Rasulullah s.a.w meletakkan di tempat yang sewajarnya untuk mengisi hidup baru kepada kemanusiaan. 

Hasil dari usaha-usaha Rasulullah s.a.w yang gigih lahirlah peribadi Muslim seperti Abu Bakr as Siddiq yang terkumpul padanya sifat-sifat terpuji.  Orang dahulunya tidak pernah menyangka dan tidak pernah disangka akan menjadi orang yang pertama meneruskan amanah Allah s.w.t yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk memimpin manusia ini ke matlamat yang suci murni. Lahir juga peribadi Muslim seperti ‘Umar al Khattab yang dahulunya mengembala unta bapanya, al Khattab, meskipun padanya terdapat sifat-sifat tegas dan berani tetapi tidak pernah menyediakan tapak untuk meletakkan ke tempat yang tinggi dan tiada siapa yang menyangka dengan pimpinan dan didikan baginda Rasulullah s.a.w tiba-tiba ‘Umar muncul menggemparkan alam ketika itu dengan kepintaran dan ketegasannya  serta keberaniannya dapat merobohkan singgahsana Kaisar Romawi.  Kemudian dapat  menegakkan di atas keruntuhan untuk pemerintahan Islam yang dapat mengatasi  Romawi dan Farsi di segi pentadbiran dan peraturan dan ditambah pula dengan sifat-sifat wara’, taqwa, tegas dan adil yang menjadi contoh teladan zaman berzaman. 

Juga lahir peribadi-peribadi seperti ‘Ali bin Abi Talib, ‘Aisyah, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Zaid bin Thabit, sebagai tokoh-tokoh ulama yang tiada bandingannya dari dahulu hingga sekarang dan mungkin juga di masa akan datang.  Mereka ini adalah hasil daripada latihan dan didikan Madrasah Rasulullah s.a.w, maka terpancarlah ilmu pengetahuan daripada tokoh-tokoh tersebut dan kata-kata hikmat lahir daripada mulut-mulut mereka.  Mereka bercakap maka seluruh zaman akan terdiam danmereka berkhutbah maka seluruh zaman menunggu-nunggu untuk merakamnya. 

Dengan itu lahirlah kumpulan Islam hasil dari didikan Rasulullah s.a.w yang berasaskan Tauhid dan kemampuan mereka dalam bidang ilmu pengetahuan hasi dari pengajian mereka dari sumber al Quran al Karim dan as Sunnah an Nabawiyyah untuk mengepalai dan memimpin manusia ke arah kebaikan yang abadi. Inilah satu revolusi pembentukan peribadi yang luarbiasa dan satu-satunya yang pernah berlaku di dalam sejarah kemanusiaan dan hingga kini revolusi seumpama itu berulang kembali.  Revolusi yang menghasilkan kumpulan Mu’min sejati tampil mengepalai kepimpinan alam ke arah kesejahteraan dengan sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia bagi menjamin kesejahteraan dan kejayaan manusia di bawah kepimpinan tersebut. 

Sifat-sifat Keperibadian Mereka 

Antaranya ialah :- 

a. Mereka itu adalah kumpulan pertama atau lebih dikenali sebagai Generasi Al Quran, pendokong kitab suci al Quan al Karim dan Syari’at Allah s.w.t.  Mereka itu  tidak mencipta undang-undang atau menggubal perlembagaan hidup mengikut kehendak jiwa mereka sendiri.  Mereka faham bahawa jiwa tanpa hidayat Islam adalah sumber kejahilan, kesesatan dan kezaliman.  Mereka tidak secara teraba-raba memilih jalan hidup mereka dan corak pergaulan mereka.  Mereka telah menerima cahaya daripada Allah s.w.t bagi menerangi jalan hidup mereka di kalangan masyarakat manusia, bagi membetul dan memandu manusia ke arah yang selamat.  Firman Allah s.w.t : 

Terjemahannya :  Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan ditengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-sekali tidak  dapat keluar daripada nya?.  Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan  “.( Surah al An’am :  122 ) 

b. Mereka tidak memegang kuasa memerintah atau memimpin tanpa menjalani latihan akhlaq dan didikan jiwa. Mereka menghabiskan masa yang panjang menjalani didikan junjungan Muhammad s.a.w, di bawah perhatian baginda yang teliti hingga lahirlah pada peribadi  mereka sifat-sifat Zuhud, Wara’, ‘Afah, Amanah, tidak mementingkan diri sendiri, takutkan Allah s.w.t , tidak tamak dan tidak terlalu ghairah terhadap kuasa.  Sabda Rasulullahs.a.w yang bermaksud :  Kami demi Allah tidak akan memilih sebagai pemerintah orang yang memintanya atau orang yang terlalu ingin kepadanya .  Mereka tidak berebut-rebut kepada jawatan tetapi sebaliknya mereka merasa berat menerimanya apabila dilantik, apatah lagi mencalunkan diri mereka untuk jawatan tertentu dan berkempen, berdi’ayah dan membelanjakan wang yang banyak bagi memenangi  jawatan tersebut. Apabila mereka dilantik memegang sesuatu jawatan mereka tidak menganggapnya sebagai suatu sumber kekayaan atau keuntungan, tetapi mereka menganggap sebagai suatu amanah yang terpikul di atas bahu mereka atau sebagai ujian daripada Allah s.w.t.  Mereka sedar mereka bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t dari sebesar-besar pekerjaan hingga sekecil-kecilnya.  Mereka sentiasa mengingati pesanan Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim : 

Terjemahannya : “Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian daripada kamu  atas sebahagian yang lain beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan Nya, dan sesungguhnya  Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang( Surah al An’aam : 165 ) 

c. Mereka faham benar bahawa mereka bukan berkhidmat kepada bangsa semata-mata, mereka bukan utusan bangsa dannegara, berusaha untuk kesenangan dan muslihat bangsa dan negara semata-mata.  Mereka faham bahawa mereka bukan dilahirkan untuk mengasaskan Empayar ‘Arab untuk menekmati segala kemewahannya dan bermegah dengan  kearabannya atau lahir untuk melepaskan  manusia daripada pemerintahan Romawi dan Farsi dengan kekuasaan Arab dan pemerintahan mereka.  Tetapi tugas mereka ialah untuk mengeluarkan manusia dari beribadah kepada sesama manusia kepada berubudiyyah kepada Allah s.w.t semata-mata sepertimana yang telah ditegaskan oleh Rabi’ bin ‘Amir utusan tentara Islam kepada Yazdjir yang bermaksud :   “Allah s.w.t mengutuskan kami untuk mengeluarkan  manusia dari beribadah kepada manusia kepada beribadah kepada  Allah s.w.t semata-mata dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia ini kepada yang lebih luas lagi dan mengeluarkan manusia daripada kezaliman agama-agama kepada  keadilan Islam  Nilai bangsa-bangsa adalah sama sahaja pada mereka.  Yang lebih tinggi pada mereka ialah nilai Taqwa kepada  Allah s.w.t.  Firman Allah s.w.t :

Terjemahannya : Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakankamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenak  mengenal, Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu  di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal  ( Surah al Hujuraat : 13 ) 

Sayyidina ‘Umar al Khattab semasa memerintah beliau berkata kepada ‘Amru  al As manakala mendapat tahu bahawa anak  ‘Amru memukul seorang warga negara Mesir serta bermegah dengan pangkat dan kebesaran bapanya, maka ‘Umar terus bertindak menghukum ‘Amru dan anaknya sekali seraya berkata yang bermaksud :-  Bilakah kamu mula memperhambakan manusia sedangkan mereka diperanakkan oleh ibu-ibu mereka di dalam keadaan merdeka .    

d. Mereka faham bahawa manusia ini terdiri dari jasmani dan rohani, terdiri dari hati, aqal, perasaan dan juga anggota lahir yang lain.  Manusia tidak akan merasa dbahagia, berjaya dan maju secara adil dan saksama selama mana dia tidak diberi bimbingan dan asuhan yang sewajarnya mengikut nilai-nilai Islam yang sewajarnya.

Palm Springs Condos
Cellular Phones

Di Persimpangan Jalan

Umat Islam hari ini benar-benar berada di persimpangan jalan. Cara hidup Jahiliyyah dengan berbagai perisa dan pewarna Islam telah menyelubungi kehidupan mereka hingga mereka menjadi keliru dalam memilih jalan hidup yang lurus; mereka gagal memilih watak-watak atau keperibadian (syakhsiyah) sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT. Ini semua adalah merupakan konspirasi dan perancangan musuh-musuh Islam. Umat Islam kini tidak lagi memiliki syakhsiyahnya sendiri bahkan menumpang syakhsiyah-syakhsiyah lain yang tidak ada hubungannya dengan Allah SWT dan hari Akhirat. Yang ada hari ini hanyalah syakhsiyah ghusaiyyah (keperibadian buih), pemuda-pemudanya yang mudah terikut-ikut dengan apa saja trend semasa.

Di antara hasil lain konspirasi dunia menentang Islam dan Muslimin ini adalah menyebarkan terrorism dengan pembunuhan di beberapa negara Arab dan Islam di bawah banner Islam untuk menggambarkan Islam adalah agama terrorism dan kekerasan. Tohmahan ini telah diperkuatkan lagi oleh media massa barat sedangkan Islam sebenarnya adalah suci daripada tohmahan-tohmahan ini, serta tidak mengiktiraf peristiwa-peristiwa kekerasan, penyembelihan dan pembunuhan yang berlaku di Mesir dan Algeria.

Sesungguhnya musuh telah menggunakan kelemahan orang-orang Islam dan tiadanya kesatuan di kalangan mereka untuk memberikan berbagai pukulan di segenap penjuru terhadap orang-orang Islam di dalam usaha menghapuskan mereka ataupun memecahkan kekuatan mereka, seperti yang berlaku di Bosnia, Chechnia, Kashmir dan lain-lain. Tetapi orang-orang Islam telah bertahan, contohnya sekatan ekonomi terhadap beberapa negara Arab Islam seperti Iraq, Libya, Sudan dan Iran. Kemudian mereka cuba untuk menguasai ekonomi di pasaran Timur Tengah terhadap negara-negara setempat. Mereka juga membenarkan musuh zionis memiliki senjata nuklear sedangkan ianya diharamkan ke atas negara-negara Arab dan Islam. Begitu juga penguasaan politik terhadap kebanyakan negara-negara pengeluar minyak, di mana penetapan permuafakatan dengan mereka telah mengizinkan kewujudan askar asing di sana supaya petroleum di Teluk sentiasa mengalir ke Barat.

Begitulah kita mendapati perancangan yang keji untuk konspirasi ini merebak ke medan antarabangsa untuk menentang negara-negara Arab dan Islam, terutamanya selepas hancurnya sosialism. Di sana terdapat suatu pemusatan terhadap Mesir dan tekanan ke atasnya kerana kedudukannya di dunia Islam. Adapun konspirasi itu melalui peperangan pada tahun 1967 dan apa yang didapati daripadanya iaitu penjajahan beberapa bahagian daripada negara-negara Arab di sekitar Palestin. Kemudian konspirasi itu berlaku melalui pengiktirafan Mesir terhadap kewujudan zionis perampas dan keluarnya Mesir daripada perlumbaan (peperangan) dengan Musuh, kerana keamanan besar yang diberikan kepadanya. Maka lemahlah negara-negara Arab yang lain terutamanya negara-negara yang berjiran dan negara-negara yang Musuh telah membinasakan buminya, serta Musuh masih enggan untuk keluar daripadanya. Begitu juga, konspirasi itu merangkumi pemisahan Mesir daripada Sudan, percubaan memisahkan utara Sudan daripada selatannya dan pemberontakan John Garang serta pemberian senjata kepadanya untuk memerangi kerajaan Sudan.

Membina Semula Ummah

Kita perlu membina semula ummah yang bermula dengan membangunkan pemuda-pemudanya dari lena yang panjang. Keperibadian mereka perlu dibina semula supaya menepati keperibadian atau syakhsiyah sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Kisah-kisah singa zaman silam perlu digembar gemburkan semula setelah sekian lama yahudi dan konco-konconya cuba memadamkannya dari sejarah kehidupan umat Islam hingga ummat kita kini kehilangan kebanggan masa silam lalu berpijak pada dahan-dahan yang rapuh untuk membangunkan ummat yang serba lemah.

Pembinaan ummah ini bermula dengan pembinaan peribadi-peribadi mukmin. Peribadi-peribadi yang meyakini Allah dan segala janji-janjinya, meyakini Hari Akhirat dengan segala siksaan dan azabnya serta merindui syurga dengan segala kenikmatannya.

Asasnya untuk kita menangani permasalahan ini adalah sebagai satu permasalahan Rabbani bagi menentang musuh Allah. Dan musuh-musuh ini bukanlah semata-mata tentang perampasan tanah tetapi perampasan keperibadian dan perampasan ummah. Allah telah berfirman kepada kita bahawasanya

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahui…” (al Anfal: 60).

Hendaklah kita mengetahui bahawa kekuatan yang pertama dan terpenting adalah kekuatan Iman yang melayakkan kita untuk mendapat pertolongan Allah, yang mana dalam firmannya lagi: “…demikianlah menjadi kewajiban atas Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman” (Yunus: 103)

Maka janganlah kekuatan musuh dan orang yang membantunya menggerunkan kita kerana Allahlah yang lebih berkuasa lagi mulia. Bagi Allahlah tentera-tentera di langit dan di bumi, dan dialah yang menetapkan orang-orang yang beriman serta melemparkan perasaan gerun ke dalam hati-hati orang-orang kafir. “Hai orang-orang beriman, jika menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” (Muhammad: 7) Dan barangsiapa yang berpegang kepada Allah nescaya Allah tidak akan mensia-siakannya selama-lamanya, dan barangsiapa yang mengharapkan pertolongan selain daripada Allah, Allah akan menghinakannya.